Pages

Tuesday, 10 December 2013

MUSIBAH BANJIR TUNTUT KESABARAN ,SEMANGAT MEMBANTU .



UANTAN - Banjir buruk yang melanda Pahang sejak Isnin lepas benar-benar menguji kesabaran semua pihak terbabit di samping menuntut toleransi dan semangat saling membantu.

'Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul', itulah yang dihadapi mangsa banjir di seluruh negeri dan mereka mengharapkan orang yang tidak ditimpa musibah ini, menghulurkan bantuan.

Peringkat awal banjir buruk yang melanda di Pahang menyebabkan peningkatan mendadak jumlah mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan, mengakibatkan banyak pihak mempertikai kesiapsiagaan pihak berkuasa lebih-lebih lagi banjir yang melanda melumpuhkan bandar Kuantan sekurang-kurangnya dua hari sehinggakan bekalan makanan dan keperluan asas pun dilaporkan tidak mencukupi.

Agensi berkaitan yang sepatutnya sudah bersedia membantu, didakwa kononnya kelam-kabut dan 'terpinga-pinga' untuk memulakan tindakan.

Laman sosial seperti Facebook dan Twitter melimpah ruah dengan gambar dan maklumat yang membuat pelbagai dakwaan buruk terhadap agensi kerajaan berkaitan, termasuk tuduhan yang nyata tidak berasas.   

Hakikatnya, bak kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, petugas operasi banjir juga terbabit dalam kejadian banjir itu, namun mereka tetap bertungkus-lumus dan bertarung nyawa mendahulukan tindakan membantu mangsa banjir lain.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata bekalan keperluan lewat sampai kepada mangsa ketika banjir mula melanda sahaja ,bukan disebabkan kehabisan bekalan.   
"Contohnya laporan yang diterima ada 500 orang di pusat pemindahan, kami bekalkan makanan bagi 500 orang selama tiga hari, tapi dalam masa dua jam bilangan itu bertambah secara mendadak menjadi 1,500 orang, dengan itu maknanya makanan yang dimasak untuk 500 orang sudah jadi tidak cukup.
"Kami juga menghadapi kesukaran menghantar tambahan makanan ekoran laluan yang berselerak dengan kenderaan di tepi jalan yang menghalang lori membawa bantuan masuk ke pusat pemindahan dengan pantas," katanya kepada Bernama di sini.

Bagaimanapun, katanya, bekalan keperluan di pusat pemindahan sekarang bertambah baik dan cukup untuk menampung jumlah mangsa banjir yang semakin meningkat.

Semua agensi dan jabatan berkaitan berusaha memastikan bekalan bantuan seperti makanan dan keperluan asas di pusat-pusat pemindahan tidak berkurangan.    
Seorang anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan yang hanya mahu dikenali sebagai 'Wan' berkata rumahnya di Sungai Isap turut ditenggelami air melebihi dua meter.

"Saya sejak hari pertama banjir, tetap bertugas seperti biasa, membantu dalam operasi banjir ini, keadaan rumah saya pun tak tahu macam mana, sedih bila ditohmah kami tidak buat kerja," katanya.

Seorang penghuni pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bunut Rendang, Kuantan, Rahim Bakar berkata masalah adakalanya berbalik kepada sikap tidak sabar dan mementingkan diri mangsa yang dipindahkan, sehingga punca bekalan keperluan asas dilihat tidak mencukupi.

"Ketika petugas operasi banjir mengagihkan keperluan asas seperti tilam dan selimut, ramai yang berebut, terdapat tujuh sekeluarga mengambil tujuh selimut, tujuh tilam dan tujuh bantal, akibatnya mereka yang beratur jauh di belakang tidak dapat satu selimut atau satu tilam pun," katanya.

Rahim, 55, bersama tiga anaknya yang menetap di Taman Inderapura yang ditengelami banjir pada hari Selasa lepas, berkata sikap mementingkan diri sendiri itu turut menyebabkan terdapat mangsa banjir yang lain terpaksa tidur beralaskan tikar.

"Pertambahan mendadak mangsa banjir di pusat pemindahan dan kekangan bekalan keperluan asas untuk sampai ke pusat pemindahan, menyebabkan petugas operasi banjir serba-salah, sepatutnya semua pihak sama-sama membantu, sama-sama berkongsi terlebih dahulu, sebelum bantuan tambahan sampai," katanya.

Seorang lagi mangsa banjir Abu Bakar Kamal berkata sikap 'orang kita' yang 'tak pandang orang belakang' juga menyebabkan hal berkaitan makanan seperti ini tidak mencukupi.

"Bila makanan di pusat pemindahan dimasak sahaja, semua berebut, ambil tiga empat pinggan seorang, orang belakang (terkemudian) dapat kuah sahaja, yang ambil tiga empat pinggan bukannya habis makan pun!," katanya.

Bak kata Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, musibah banjir yang melanda ini sebenarnya mahu menguji kesabaran, sikap toleransi dan saling membantu sesama kita.

Kepada yang tidak ditimpa musibah banjir, bantulah seadanya, bukannya membuat tohmahan kepada pihak yang bertungkus-lumus siang dan malam membantu mangsa banjir.

"Kepada mereka yang tidak terbabit banjir wajarlah juga mengambil mana-mana keluarga demi membantu meringankan beban mereka ketika ini, sekurang-kurangnya mereka mendapat tempat perlindungan," katanya.

Wan Abdul Wahid berkata tindakan itu merupakan syariat yang dituntut agama demi membantu sesama saudara Islam ketika mereka ditimpa musibah. - Bernama



Sumber rujukan


JOM KLIK LIKE FAN PAGE Video Dan Gambar Menarik , Lucu Serta Menghiburkan 

doa-doa pilihan 

info menarik 

FACEBOOK

FAN PAGE UTAMA 

No comments:

Post a Comment