Pages

Tuesday, 10 December 2013

TERIMA KASIH SUKARELAWAN.


ROMPIN - Musibah banjir yang melanda Rompin baru-baru ini banyak memberi kesan kepada mangsa yang mengalami kerugian disebabkan barang-barang yang rosak ditenggelami air, rumah yang kotor dan beban kewangan untuk membaik pulih bagi yang kurang berkemampuan.

Beban mangsa banjir ini sedikit sebanyak dapat dikurangkan dengan bantuan daripada pelbagai pihak selain bantuan kerajaan seperti sumbangan kewangan atau barang keperluan secara individu atau berkumpulan dan juga sumbangan dalam bentuk tenaga yang bergelar sukarelawan.

Pada 5 Disember lalu, sukarelawan Unit Amal Pas Kawasan Segamat telah turun seramai sembilan orang dalam misi membantu mangsa banjir membersihkan rumah dan juga menyerahkan sumbangan mereka yang di perolehi daripada pelbagai pihak yang menderma.

Selama dua hari berada di Rompin, beberapa buah rumah telah dibersihkan di kawasan Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) dan perumahan nelayan yang kedua kawasan perumahan tersebut adalah di Sungai Puteri di mana kawasan ini mencatatkan jumlah mangsa banjir yang tertinggi iaitu lebih daripada 1000 orang yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Sungai Puteri.

Yang Dipertua (YDP) Pas Segamat, Firdaus Masod, 40, berkata, beliau sendiri pernah menjadi mangsa banjir dan faham akan apa yang dirasai oleh mangsa banjir.

Namun begitu, menurutnya, melihat keadaan banjir di Rompin masih tidak seteruk banjir yang pernah melanda Segamat sebelum ini dan di Kuantan baru-baru ini.

“Saya puji masyarakat di sini yang bagus kerana memberi kerjasama terhadap sukarelawan Pas yang mahu membantu meringankan beban mereka.

“Sebelum ini kami pernah cuba untuk membantu sesetengah pihak tapi mereka menolak disebabkan perbezaan  fahaman politik. Keadaan di sini pula berbeza, walaupun berlainan fahaman politik tetapi tetap menerima kehadiran kami,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, selepas ini sukarelawan Pas seluruh Johor akan ke Kuantan pula untuk membantu mangsa banjir di sana yang jumlah mangsanya lebih ramai.

“Mangsa banjir pulang dari pusat pemindahan dalam keadaan penat dan fikiran bercelaru, jadi mereka ini memang perlukan bantuan. Ini juga sebagai ucapan terima kasih kepada rakyat Pahang yang selalu turun membantu jika Segamat mengalami musibah yang sama,” katanya.

Penduduk PAKR Sungai Puteri, Yahya Abdullah, 60, berkata, kegiatan sukarelawan sebegini memang banyak manfaatnya kepada rakyat yang sedang dalam kesusahan.

“Kegiatan sukarelawan sebegini sepatutnya terus diberi galakan dan diperbesarkan lagi agar lebih ramai yang ikut serta dan sudah pasti ia memberi kesan positif kepada masyarakat.

“Sewaktu rumah  pakcik dinaiki air, anggota Unit Amal juga yang membantu membawa anak dan cucu saya menaiki bot fiber mereka kerana air sudah dalam. Saya ucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas bantuan tersebut yang tidak mengira sesiapa pun,” katanya.

Dalam pada itu, bersama dengan Unit Amal juga terdapat sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa dan pensyarah seramai lapan orang.

Pensyarah Uniten, Zulkifli Ahmad, tidak ramai pelajar yang dapat ikut serta kerana masing-masing mempunyai sesi kuliah.

“Selepas kuliah baru ini, saya berbincang dengan beberapa orang pelajar untuk pergi membantu mangsa banjir dan mereka setuju dengan cadangan itu.

“Pada mulanya ramai, tetapi disebabkan bertindih dengan waktu kuliah masing-masing, jadinya yang berkelapangan sahaja dapat ikut serta. Sebelum ini ada tetapkan tarikh dan waktu lain, tetapi bimbang sudah terlambat kerana air surut awal tidak seperti yang dijangka,” katanya.

Menurutnya, aktiviti begini baik untuk sesiapa sahaja dan bukan terhad kepada mahasiswa kerana akan dapat berkongsi kesusahan dengan mangsa banjir seterusnya memberi keinsafan kepada diri.

Presiden Persatuan Pengajian Islam Uniten, Mohammad Zairi Mohd Ali, 21, berkata, memang sudah lama untuk menyertai aktiviti sukarelawan sebegini selain untuk menimba pengalaman.

“Saya memang sudah lama merancang untuk menyertai projek amal sebegini dengan rakan-rakan untuk menimba pengalaman dan dalam masa yang sama mengerat hubungan silaturahim dengan masyarakat.

“Aktiviti begini memberi pendedahan tentang kepentingan membantu orang yang yang dalam kesusahan selain meningkatkan nama universiti,” katanya yang gembira dapat membantu mangsa banjir .

Selain itu, anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) juga tidak mahu tertinggal di belakang dalam membantu mangsa banjir dari hari mula bencana hingga ke hari pusat pemindahan sementara diarahkan supaya ditutup.

Pengerusi KRT Tanjung Gemok, Noor Azhar Abu Bakar, 50, berkata, setiap tahun anggota KRT Tanjung Gemok memang melibatkan diri dengan aktif dalam membantu mangsa banjir daripada mula berpindah hingga keadaan banjir pulih.


Sumber rujukan


JOM KLIK LIKE FAN PAGE Video Dan Gambar Menarik , Lucu Serta Menghiburkan 

doa-doa pilihan 

info menarik 

FACEBOOK

FAN PAGE UTAMA 

No comments:

Post a Comment